ISTERI Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Khaleeda Bustamam menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung isu guru Pendidikan Jasmani bergurau keterlaluan mengenai perbuatan rogol.
Che’ Puan Khaleeda yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Johor, berkata tindakan tegas terhadap guru berkenaan perlu diambil segera.
Beliau berkata, peranan guru masa kini bukan sahaja mendidik malah membentuk akhlak pelajarnya selain menjadi ejen sosialisasi kedua penting selepas ibu bapa.
“Justeru, saya mohon pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai perkara ini segera dan tindakan tegas terhadap guru tersebut perlu diambil segera.
“Video baru-baru ini tentang seorang pelajar yang mengadu tentang guru pendidikan jasmaninya bergurau secara keterlaluan dan mengatakan ia tidak salah untuk merogol telah menjadi viral di media sosial.
“Isu rogol adalah perkara serius dan merupakan perbuatan jenayah berat. Oleh yang demikian, dalam situasi apa sekalipun perkara ini tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka dan juga gurauan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.
Che’ Puan Khaleeda turut memuji pelajar perempuan tersebut kerana berani menyuarakan perkara serius ini di ruang media sosialnya.
Baru-baru ini, tular video berdurasi 59 saat dakwaan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang kesal dengan jenaka keterlaluan guru lelaki yang seolah-olah menggalakkan jenayah rogol.
Menurut pelajar itu, kejadian berlaku ketika kelas Pendidikan Jasmani dan topik perbincangan berkaitan kesedaran gangguan seksual dan cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.
Bagaimanapun pelajar itu mendakwa, sesi pembelajaran bertukar sebaliknya apabila guru terbabit mula membuat jenaka lucah berkaitan rogol.
Selepas video dimuatnaik dalam aplikasi Tik Tok dan Twitter itu tular, ia mengundang perdebatan pelbagai pihak yang turut mengecam tindakan guru terbabit. – Malaysiapost

