PRESIDEN Umno, Datuk Dr Seri Ahmad Zahid Hamidi sedih dan kecewa dengan tindakan pihak berkuasa mengenakan kompaun RM50,000 kepada seorang peniaga burger di Kelantan, kelmarin.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata walaupun kesalahan yang dilakukan peniaga berkenaan adalah kesalahan berulang namun tindakan mengenakan kompaun sehingga RM50,000 disifatkan tidak wajar bagi seorang peniaga kecil sepertinya.
Ahmad Zahid berkata, hakikat yang berlaku ketika ini adalah tindakan ‘double standard’ kerajaan terhadap rakyat biasa berbanding golongan kayangan termasuk artis.
“Berdasarkan laporan media, kompaun berkenaan dikenakan kerana peniaga didakwa beroperasi melebihi jam 10 malam ketika Kelantan melaksanakan PKP bagi mengekang penularan Covid-19.
“Bagaimanapun saya tertanya-tanya adakah burger yang dijual peniaga berharga RM300 sebiji sehingga menyebabkan dia dikompaun sebegitu banyak. Ukurlah kemampuannya,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, bagaimana peniag itu mahu membayar kompaun sedangkan berniaga burger itu sahaja pekerjaan yang dilakukannya untuk mencari rezeki.
“Kenapa pihak berkuasa sekejam itu? Lagipun dalam situasi PKP di Kelantan apa lagi pekerjaan lain yang boleh dilakukan ditambah pula tempoh masa yang terhad.
“Berdasarkan pengakuan peniaga, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, dia sekadar beroperasi di hadapan rumah. Dan ketika itu tiada seorang pun pelanggan.
“Peniaga hanya menyiapkan pesanan burger yang akan dihantar ke kilang berdekatan. Peniaga akui memang benar dia belum menutup kedai tetapi meja tidak dibuka untuk kehadiran pelanggan. Dia hanya berseorangan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau berterima kasih kepada Pemuda Umno Kelantan yang tampil menawarkan bantuan guaman untuk membantu Wan Mohd Faisal bagi rayuan pengurangan kompaun yang dikenakan.
“Saya pelik apabila melibatkan rakyat marhaen kerajaan tidak bercakap banyak dan terus memberikan kompaun.
“Apabila melibatkan golongan kayangan atau artis berkahwin, pelbagai alasan diberikan. Antaranya kompaun masih belum dapat dikenakan, kertas siasatan sedang disiapkan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan sebagainya.
“Hakikatnya, kita melihat golongan kayangan dan artis secara jelas melakukan pelanggaran SOP tetapi tindakan amat lambat. Bila dikatakan double standard, kerajaan pula marah rakyat,” katanya.
Kelmarin, seorang peniaga burger meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.
Dia yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, memaklumkan didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan tempahan pelanggan jam 11.10 malam.
Polis kemudian mengeluarkan kompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh PKP. – Malaysiapost

