Kompaun peniaga burger: Kerajaan seperti sudah berkurang sifat nurani

0
1

KERAJAAN hari ini seperti sudah berkurang sifat nurani dalam melihat keterdesakan ekonomi rakyat, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir.

Beliau merujuk kepada kompaun RM50,000 dikeluarkan terhadap peniaga burger di Pengkalan Chepa, Kelantan kerana berniaga melebihi tempoh ditetapkan walaupun di hadapan rumah sendiri.

Akmal berkata, apa yang dikesalkan adalah amalan dua darjat yang pastinya menjadi isyarat tekanan dan penindasan berterusan kepada rakyat akan berlaku.

Beliau berkata, amalan dua darjat kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah terlalu ketara dan semakin tidak masuk akal dengan siri penguatkuasaan tidak adil dan menambahkan sengsara rakyat
dalam berhadapan keadaan ekonomi tidak menentu kebelakangan ini.

“Sekiranya berlaku pelanggaran SOP sekalipun, kompaun sehingga RM50,000 amat tidak masuk akal kepada rakyat marhaen yang hanya berniaga burger di hadapan rumah.

“Ini agak berbeza bagi kes melibatkan golongan ternama (VVIP), sering kedengaran kertas siasatan akan dibuka terlebih dahulu walaupun bukti bergambar dan video terpampang jelas, manakala kes melibatkan rakyat marhaen pula terus dikompaun.

“Ini jelas suatu penganiayaan dan penindasan yang tidak sepatutnya mendapat tempat di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata menteri atau exco kerajaan negeri yang mempunyai kuasa dan terlibat secara langsung dalam penyediaan prosedur operasi standard (SOP) diminta lebih bertanggungjawab dan menyemak kembali segala SOP tersebut supaya penganiayaan sebegini tidak terus berlaku.

“Penguatkuasa turut dinasihat agar memberi pertimbangan sebaiknya sebelum mengenakan kompaun kerana sekiranya kes sebegini berlaku, anda yang akan dipersalahkan sedangkan anda hanyalah penjawat awam yang menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata AMK menggesa rakyat yang berhadapan dengan kes sebegini untuk tampil ke hadapan dan Biro Profesional Muda AMK sedia menawarkan khidmat guaman bagi memberi pembelaan kepada mereka.

Semalam, peniaga burger Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, meluahkan rasa kecewa apabila dikenakan kompaun RM50,000 oleh polis bagi kesalahan berniaga melebihi had masa ditetapkan.

Beliau mendakwa didatangi beberapa anggota polis ketika menyiapkan tempahan pelanggan pada jam 11.10 malam sebelum dikompaun RM50,000.

“Memang saya belum menutup kedai namun meja sudah disimpan. Saya hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar ke pekerja kilang.

“Saya agak terkejut apabila dikenakan kompaun setinggi itu hanya untuk kesalahan ini. Sudahlah musim PKP, berniaga pun bukannya laris sebagaimana seperti sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here