Tilawah dan Mengafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan diteruskan tahun ini

0
2

MAJLIS Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 1442H/2021M akan diteruskan tahun ini dengan penambahbaikan dan pembaharuan, termasuk prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah penularan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata beliau sudah meneliti SOP dibentangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai penganjuran acara berprestij tahunan itu.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, acara berprestij tahunan ini akan diteruskan dalam usaha membudayakan kesenian dan kefahaman al-Quran di Malaysia.

“Ada beberapa penambahbaikan dan pembaharuan yang akan diperkenalkan bagi memberi nafas baharu dan mendekatkan al-Quran kepada pelbagai lapisan dan latarbelakang masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan bila ia akan diadakan.

Tahun lalu, Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/2020M diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu.

Majlis yang berlangsung selama enam hari itu dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu pada 16 Februari 2020 dan disertai 108 peserta Tilawah dan hafazan mewakili 14 negeri.

Qari cacat penglihatan dari Kelantan, Muhammad Qsyyim Nizar Sarimi dan qariah dari Perak, Puteri Kalimatul Azzua Hamid masing-masing dinobatkan sebagai johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441/2020M. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here