REMAJA lelaki yatim piatu berusia 14 tahun diseksa hingga mati oleh majikannya hanya kerana mangsa meminta upah hariannya sebanyak 50 pound Mesir atau RM13.
Dalam kejadian di sebuah rumah penyembelihan ayam di Kampung Mit Suhail di wilayah Sharqia, Mesir, Saleh Tamer Ali dipercayai diseksa dengan cara dipukul dan dicucuh api pada badan hingga mengakibatkan kecederaan parah sebelum koma dan disahkan meninggal dunia.
Media tempatan melaporkan mangsa dipercayai diseksa oleh seorang pekerja dan tiga pemilik rumah penyembelihan, di mana dia bekerja.
Mangsa adalah anak yatim piatu, selepas kematian ibu bapanya sejak tujuh tahun lalu, dan dia tinggal bersama ibu saudaranya.
Menurut suami ibu saudaranya, Abdulmajeed Ali, dia menerima berita daripada pihak Hospital Pusat Al Saadin yang memaklumkan mengenai kematian remaja terbabit.
Katanya, pihak hospital memberitahu mangsa dihantar ke hospital itu oleh dua majikannya.
“Saya pergi ke bilik mayat untuk membuat pengecaman mayat dan mendapati badan mangsa mengalami kesan luka bakar dan lebam.
“Kami kemudian mengetahui dari doktor forensik bahawa tanda luka bakar di badannya adalah baru beberapa jam dan lebam adalah kerana dipukul. Ini bermaksud anak itu diseksa dan dibakar dua jam yang lalu.
“Kami difahamkan beberapa lelaki termasuk pemilik rumah penyembelihan ayam itu membawa Saleh ke sebuah farmasi di Desa terlebih dahulu dan mendakwa mereka mendakwa menemuinya terbaring tidak sedarkan diri di jalan,” katanya seperti dilaporkan portal Gulf Today.
Abdulmajeed berkata, pihak farmasi kemudian memberitahu tidak dapat membantu mengarahkan mangsa dibawa ke hospital dan sebaik tiba di Hospital Pusat Al Saadin, doktor bertugas mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Katanya, curiga dengan kecederaan dialami mangsa yang dipercayai ada unsur jenayah, doktor berkenaan mengarahkan dua lelaki yang menghantar mangsa ditahan, namun seorang daripadanya bertindak melarikan diri.
“Kami kemudian membuat laporan polis supaya tiga individu yang juga pemilik rumah sembelihan itu ditahan bagi siasatan kes bunuh anak itu.
“Difahamkan Saleh meminta upah hariannya, jadi mereka memukulnya, yang menyebabkan kematiannya.
“Anak itu telah bekerja di rumah penyembelihan selama kira-kira tujuh atau sembilan bulan, dan sepanjang masa itu anak itu tidak mengadu apa-apa, tetapi kami terkejut dengan kematiannya dengan cara yang kejam ini, di mana dia dipukul dan diseksa hingga mati,” tambah Abdulmajeed.
Media tempatan turut melaporkan polis berjaya menangkap dua suspek dan memperhebatkan usaha untuk menangkap dua yang lain, termasuk suspek utama, yang melarikan diri. – Malaysiapost

