Kompaun mesti ikut garis panduan – Takiyuddin

0
2

TINDAKAN kerajaan mengenakan kompaun bagi kesalahan di bawah undang-undang adalah semata-mata bertujuan pencegahan dan memberi pengajaran kepada pelaku. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ini supaya semua individu atau peniaga bertanggungjawab memerangi Covid-19 dalam komuniti yang masih lagi di peringkat kritikal dan serius. 

Katanya, sebab itu pindaan dibuat terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).  

Menurutnya, ia adalah untuk menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi sesuatu tindakan atau perbuatan yang menjadi kesalahan kerana menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam negara ini.  

“Namun begitu langkah mengenakan kompaun di bawah Akta tersebut mesti dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan. 

“Kerajaan telah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah Akta 342 untuk dijadikan panduan kepada pihak penguatkuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan SOP ditetapkan. 

“Mengikut garis panduan itu, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori 3 yang boleh dikenakan kompaun maksima RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Beliau berkata, pesalah-pesalah pula diberikan kadar pengurangan 50 peratus sekiranya membayar kompaun tersebut dalam tempoh tujuh hari dan 25 peratus jika dibayar dalam tempoh 14 hari. 

Sejak kebelakangan ini tindakan kompaun oleh kerajaan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan kawalan Covid-19 mendapat kecaman pelbagai pihak terutama warganet di media sosial. 

Antara kes yang menjadi tumpuan adalah kompaun RM10,000 terhadap sebuah masjid di Pekan, Pahang kerana gagal merekodkan kehadiran jemaah serta enam pelajar Kolej Matrikukasi di Perak dikompaun RM1,500 setiap seorang kerana tidak memakai pelitup muka. 

Terbaharu seorang peniaga burger di Kelantan dikompaun RM50,000 kerana berniaga lebih waktu ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here