Indahnya dapat bersama teman-teman seperjuangan Bersatu – Xavier

0
2

SETELAH lebih sebulan meninggalkan PKR, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar semalam menimbulkan pertanyaan sama ada beliau telah menyertai Bersatu.

Ketika mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR pada 13 Mac lalu, bekas menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu memaklumkan beliau menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan akan meneruskan tugas sebagai ahli Parlimen bebas.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya malam tadi, Xavier memuat naik gambar beliau hadir majlis berbuka puasa bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Hari Yang Indah ini dapat bersama teman-teman seperjuangan Bersatu Selangor di Shah Alam. Bulan yang mulia ini juga merupakan peluang untuk mengikat perpaduan,” tulisnya pada hantaran tersebut.

Ketika mengumumkan keluar PKR bulan lalu, Xavier yang telah bersama parti itu sejak 1998 berkata beliau kecewa apabila ada parti yang terus membincangkan mengenai pilihan raya sedangkan fokus utama sepatutnya adalah membantu rakyat.

“Saya mengumumkan peletakan jawatan sebagai naib presiden dan ahli PKR secara serta-merta.

“Dalam keadaan negara dilanda pandemik ini, kita harus membantu kerajaan yang telah meletakkan usaha untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here