‘Kluster Spin’ putar belit isu dan KWAN – Zahid

0
2
zahid hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa terdapat pihak tertentu cuba menyalahkan Umno dalam isu pengeluaran dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) oleh kerajaan yang mendapat bantahan pelbagai pihak.

Tanpa berselindung beliau mendakwa pihak berkenaan adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang cuba memutarbelit fakta untuk kepentingan parti berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, antara fakta cuba diputarbelit adalah menyamakan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh rakyat dengan pengeluaran dana KWAN oleh kerajaan.

“Ada nama besar PPBM (Bersatu) yang belum habis dengan ‘kelentongan’ walaupun sudah menjadi kerajaan.

“Kluster Spin ini akan memutarbelit segala fakta untuk kepentingan PPBM sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Mungkin sebab itu Kluster Spin ini dapat jawatan penerangan dalam parti serpihan Umno,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Menurutnya, adalah tidak wajar menyamakan wang KWSP dengan KWAN kerana wang KWSP milik rakyat yang dikeluarkan rakyat untuk digunakan pada waktu sukar.

“Itupun bukan mudah dapat kelulusan kerajaan. Rakyat nak beli PS5 lah, Puteri Gunung Ledang lah.

“Dana KWAN pula tabung amanah negara sebagai sumber berterusan negara dan generasi akan datang. Objektifnya ia digunakan apabila sumber semulajadi negara contohnya minyak menyusut,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengeluarkannya sebelum tiba masa dengan alasan Covid-19 walaupun selepas begitu banyak wang negara diperuntukan untuk tujuan sama.

“Justeru soalan kepada Kluster Spin siapakah sebenarnya yang merapu sehingga terbabas-babas disamakan dana KWSP dengan KWAN?

“Kluster Spin PPBM semakin merapu apabila cuba menunding jari kepada menteri dari Umno dalam PN disebalik penggunaan dana KWAN.

“Kluster Spin kata Umno gagal berbincang di peringkat dalaman dengan menteri dari Umno yang menjaga hal kesihatan dan vaksin sebab terlalu ghairah nak tunjuk pandai,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, tindakan itu membuktikan pihak berkenaan cuba memutarbelit fakta kerana Umno tiada mandat menentukan hala tuju pentadbiran kerajaan.

“Adakah Perdana Menteri atau Menteri Kewangan dari Umno?,” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here