Terbabit Geng Nicky, 12 pegawai polis, SPRM ditahan

0
1
ayob khan polis johor official

SERAMAI 12 individu terdiri daripada agensi penguatkuasaan ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Antara yang ditahan adalah pegawai polis di Bukit Aman berpangkat Superintendan dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Penolong Pesuruhjaya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kesemua tangkapan itu dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dalam Ops Pelican 3.0 Fasa Dua.

“Untuk makluman antara 21 April lalu hingga hari ini pasukan polis daripada JSJK Johor telah menjalankan operasi khas iaitu Ops Pelican 3.0 Fasa Dua di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan terhadap kumpulan jenayah terancang ini.

“Dalam operasi ini 12 individu berusia 36 hingga 49 tahun yang terdiri dari agensi penguatkuasaan berjaya ditangkap,” katanya dalam sidang media di IPK Johor hari ini.

Menurutnya, pecahan tangkapan yang dibuat adalah di Bukit Aman seorang Superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan seorang Inspektor di Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS)

“Di Kontinjen Selangor, seorang Deputi Superintendan (DSP) yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Selangor, seorang Asisten Superintendan (ASP) di Cawangan Khas IPK Selangor, dua Inspektor masing-masing bertugas di JSJ IPK Selangor dan seorang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Di Kontinjen Melaka kita tahan seorang berpangkat DSP bertugas di JSJ IPK Melaka, manakala di Kontinjen Kuala Lumpur kita tangkap dua berpangkat ASP yang bertugas di JSJK IPK Kuala Lumpur dan JSJ IPD Sentul.

“Kontinjen Negeri Sembilan pula seorang berpangkat Inspektor di Pulapol Air Hitam dan turut ditahan dua pegawai SPRM di Putrajaya, seorang Penolong Pesuruhjaya dan seorang lagi Penguasa,” katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan direman 28 hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB Bab 6B Jenayah Terancang, Kanun Keseksaan dengan mengguna pakai prosedur siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Polis Johor akan menjalankan siasatan susulan penahanan baharu ini dan kalau ada lagi nama-nama baru yang terbit atau dipetik kita akan menjalankan operasi susulan.

“Kita juga menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat ini berhubung dengan anggota Geng Nicky yang masih bebas termasuklah Nicky sendiri,” katanya.

Ayob Khan berkata, secara keseluruhan setakat ini 64 individu ditahan dalam Ops Pelican 3.0 fasa satu dan dua membabitkan kumpulan jenayah terancang itu.

“Saya tidak boleh berkongsi maklumat terperinci dan saya juga tidak nyatakan nama mereka cuma dari jabatan mana sahaja.

“Geng Nicky ini besar dan rangkaiannya juga besar selain kes ini tidak statik kerana ia bergantung pada siasatan dan mungkin kalau ada tangkapan lagi kita akan pergi ke operasi fasa tiga pula,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here