SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan dua pegawai suruhanjaya itu yang dipercayai terlibat dengan kegiatan haram Geng Nicky.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya telah memberi kerjasama kepada polis dengan menyerahkan kedua-dua pegawai berkenaan bagi membantu siasatan.
“Saya memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam hal ini, malah akan menyerahkan lagi mana-mana pegawai suruhanjaya sekiranya ada yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata seramai 12 pegawai penguat kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM ditahan dalam Op Pelican 3.0 Fasa 2 antara 21 April hingga semalam.
Ayob Khan berkata, operasi itu dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan yang melibatkan penahanan 12 pegawai, disyaki terlibat dengan kegiatan ‘Geng Nicky’.
Katanya, semua individu berusia 36 hingga 49 tahun yang ditahan melibatkan 10 pegawai polis dan dua pegawai SPRM. – Malaysiapost

