SELEBRITI terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor menerima dengan hati terbuka berhubung keputusan kompaun berjumlah RM60,000 yang dikenakan terhadapnya, suami dan ahli keluarga kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menerusi kenyataan di Facebooknya, Neelofa berkata, dia menjadikan perkara itu sebagai pengajaran untuk menggunakan kebenaran rentas negeri atas tujuan yang dipersetujui pihak berkuasa.
“Assalammualaikum. Seperti yang telah diberitakan, ya, saya sudah dimaklumkan tentang kompaun yang dikenakan terhadap saya dan Haris.
“Saya menerima dengan hati yang terbuka dan menjadikan kompaun ini sebagai satu pengajaran untuk menggunakan kebenaran merentas negeri atas tujuan yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa,” katanya dalam hantaran itu.
Usahawan berjaya itu juga berkata, ia juga sebagai peringatan buatnya dan semua terlibat dalam majlis kahwin beliau untuk sentiasa menitikberatkan soal kepentingan SOP
“Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama yang baik dalam menguruskan kes saya.
“Saya ingin meminta maaf sekali lagi jika kes ini memberi sedikit masalah kepada kelancaran kerja-kerja harian kalian,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan Neelofa dan ahli keluarganya termasuk suaminya, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 atas kesalahan berkenaan.
Kompaun yang tidak dibenarkan diskaun itu selepas pihak berkuasa mendapati selebriti berkenaan melakukan dua kesalahan manakala PU Riz satu kesalahan.
Kesalahan pertama Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah mereka berlangsung.
Katanya, pasangan suami isteri itu juga melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran diberikan polis.
Haris dikompaun RM10,000 kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai polis.
Sementara itu, 20 ahli keluarga pasangan itu dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang kerana gagal menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung. -Malaysiapost
