Polis jangan jadi ‘perkakas’ politik – Anwar

0
2

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa siasatan polis berhubung klip audio yang didakwa percakapannya dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya dijadikan isu politik oleh kerajaan yang nampak sangat terdesak sekarang.

Ahli Parlimen Port Dickson itu, berkata siasatan sepatutnya dilakukan terhadap kes yang mempunyai unsur jenayah seperti yang didakwa membabitkan pemimpin kerajaan.

“Saya dipanggil sebagai saksi dalam kes klip audio yang didakwa percakapan di antara saya dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi saya beri kerjasama kepada pihak polis yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan

“Saya sebagai saksi..soalnya saya tidak tahu kes rasuah mana, kes ugutan mana atau kes jenayah mana,” katanya ketika ditemui media selepas memberi keterangan di Bukit Aman hari ini.

Menurutnya, dia memberi kerjasama dan akan memberi keterangan lengkap jika ada pendakwaan dalam kes terbabit.

“Tetapi saya tanya juga dalam keterangan saya kepada polis, saya bangkitkan beberapa perkara, pertama mengapa isu seperti ini mahu dijadikan isu politik oleh kerajaan yang nampak sangat terdesak sekarang.

“Kedua saya sebut juga ada penyebaran meluas dalam media sosial mengenai audio rakaman yang didakwa adalah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai ‘skim offering’ ..Itu saya percaya sebahagian besar sudah dengar ia melibatkan ugutan, rasuah, kalau orang sokong dia akan dilantik dalam GLC dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini setahunya masih belum ada siasatan berhubung kes itu dan ia menunjukkan ada dua darjat iaitu darjat pemimpin dan orang bawah sama ada dalam hukuman, pendakwaan dan dalam penyiasatan.

“Terkini ada penyebaran audio yang didakwa suara Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai mengatur orang sebagai pegawai-pegawai kanan dan tertinggi polis.

“Apakah ada siasatan dalam kes ini yang jauh lebih serius kerana melanggar beberapa peraturan dan melanggar jaminan beliau sendiri yang mengatakan tidak campur tangan dalam urusan itu,” katanya.

Anwar berkata, kebelakangan ini banyak rakaman perbualan yang didedahkan di media sosial dan termasuk membabitkan Menteri Dalam Negeri dan ia adalah perkara yang serius.

“Polis perlu menjelaskan perkara ini..saya tidak tahu sama ada Cawangan Khas atau bahagian apa juga yang boleh menjelaskan perkara ini. Bagaimana rakyat nak yakin dengan sistem dalam negara ini.

“Dulu ada rakaman bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan isterinya sekarang ada rakaman Menteri Dalam Negeri jadi siapa yang boleh anggap selamat dalam negara ini dan ini mesti di jawab pihak polis.

Beliau menyarankan polis supaya memberi tumpu kepada kegiatan membanteras jenayah dan beliau sokong langkah-langkah itu.

“Jho Low nak kena cari, Nicky kena cari dan janganlah sibuk pada hal-hal yang tiada kaitan langsung dan jadi ‘perkakas’ politik

“Dia (polis) boleh nafi ini bukan perkakas politik tetapi lazimnya rakyat tahu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here