Polis teliti semula kompaun RM50,000 peniaga burger

0
2

KOMPAUN sebanyak RM50,000 yang dikenakan terhadap seorang peniaga burger kerana berniaga lebih waktu ditetapkan di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bahru, Kelantan, kelmarin akan diteliti semula.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengenai kes itu dan akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun.

Katanya, polis akan melihat dari semua aspek termasuk kewajaran serta rungutan daripada masyarakat tentang jumlah kompaun yang dikenakan.

“Seterusnya akan merujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk nasihat dan pandangan selanjutnya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Shafien berkata, merujuk kepada kes tular di media sosial membabitkan pemilik burger berkenaan, pada masa sama pihak polis mengeluarkan tiga kompaun kepada pemilik premis kedai makan termasuk pemilik gerai burger.

Menurutnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak polis meningkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh daerah.

“Bagi tempoh 16 April sehingga semalam, sebanyak 127 kompaun dikeluarkan kepada pihak yang tidak mematuhi SOP ditetapkan.

“Pihak polis menerima aduan dan rungutan daripada masyarakat bahawa masih terdapat premis perniagaan yang tidak mematuhi SOP dan premis kedai makan beroperasi melebihi masa ditetapkan.

“Pada 25 April susulan aduan daripada orang awam, polis Kelantan mengeluarkan tujuh kompaun kepada pemilik dan pelanggan premis kedai makan di sekitar Pengkalan Chepa,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata langkah mengenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) mestilah dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau dipetik berkata, kerajaan sudah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah akta itu untuk dijadikan panduan kepada pihak penguat kuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, mengikut garis panduan itu, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis adalah kesalahan kategori tiga yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/27/kompaun-peniaga-burger-kerajaan-seperti-sudah-berkurang-sifat-nurani/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here