Nilam Oshman
“DULU setiap kali raya, kami paling sibuk… sekarang semua ‘rasa’ itu bagaikan dah hilang,” luah Setiausaha Pertubuhan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PPBEM), R Thiagarajan.
Beliau berkata, tahun ini merupakan tahun kedua pengusaha bas ekspres tidak dapat menjual tiket sempena Aidilfitri kerana pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan.
“Tiket Raya mana ada jual… sebab tak boleh rentas negeri jadi perjalanan biasa sahajalah.
“Orang pun tak tanya ada ke tak tiket bas, mereka dah tahu memang tak boleh balik raya tahun ini. Sebelum ini sebulan awal, orang dah mula ‘booking’ tiket, sekarang ini stesen bas lengang, cuma bas saja ada tapi tersadai.
“Ada juga sebahagian pengusaha bas dah sediakan bas tambahan, tapi terpaksa batalkan kerana peningkatan kes Covid-19,” katanya kepada Malaysiapost.
Thiagarajan turut mengimbau ‘kesibukan’ setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri di stesen-stesen bas.
Katanya, suasana walaupun sesak tetapi kemeriahan menjelang Hari Raya cukup terasa.
“Beberapa hari sebelum raya orang dah mula ramai di stesen bas, menunggu giliran untuk balik kampung, yang paling meriah bila tiba malam raya… bukan setakat penumpang, kita pengusaha dan pemandu bas pun seronok dan semangat urus perkhidmatan waktu itu.
“Namun, untuk dua tahun ini semua rasa itu dah hilang… rindu suasana seperti itu… kita haraplah wabak Covid-19 ini cepat pulih,” katanya.
Tambahnya lagi, ketika itu, bas ekspres juga tidak mencukupi kerana terpaksa melakukan lebih 20 perjalanan berbanding 10 perjalanan pada hari biasa.
Justeru, katanya, setiap kali Aidilfitri, pengusaha bas akan menggunakan bas persiaran bagi melancarkan operasi.
“Boleh dikatakan satu syarikat sediakan 10 perjalanan untuk hari biasa tapi jika raya, akan tambah 20 hingga 40 perjalanan dari semasa ke semasa termasuk menggunakan bas persiaran kerana bas ekspres tak cukup nak tampung semua perjalanan itu.
“Tapi sekarang nak dapat 10 perjalanan biasa pun susah,” katanya. – Malaysiapost

