BUKAN sahaja disamun, malah seorang wanita warga emas cuba dirogol lelaki warga asing yang memecah masuk rumahnya di Taman Skudai, Johor awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa berusia 65 tahun sedang tidur sebelum terdengar bunyi orang membuka tingkap biliknya.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata mangsa kemudian mendapati seorang lelaki bangsa asing, berkulit gelap tidak memakai baju dan hanya memakai seluar dalam sedang berdiri di hadapan katilnya sambil memegang sebatang besi.
“Suspek mengarahkan mangsa supaya diam dan menanggalkan pakaian sebelum cuba merogolnya.
“Mangsa yang ketakutan terpaksa menurut apa yang disuruh. Suspek cuba merogol mangsa namun tidak berjaya dan hanya mengeluarkan air mani di atas tilam mangsa,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Dzulkhairi berkata, suspek kemudian menyamun wang tunai mangsa sebanyak RM500 sebelum beredar.
“Berdasarkan maklumat dan risikan, seorang suspek lelaki warga Bangladesh berusia 26 tahun dan dan dua lelaki warga Myanmar berusia 21 dan 26 tahun ditahan pada jam 2.30 petang hari sama.
“Kedua-dua lelaki warga Myanmar itu ditahan kerana cuba melarikan diri dan disyaki bersubahat dengan suspek. Kesemua mereka bekerja sebagai buruh binaan.
“Polis turut merampas beberapa bahan bukti yang dipercayai digunakan untuk tujuan samun antaranya sebatang besi, besi pengumpil, sehelai ‘boxer’ (seluar pendek) berwarna kelabu dan sebuah telefon bimbit,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
“Suspek dan dua lagi rakannya akan di bawa ke mahkamah Johor Bahru untuk proses permohonan tahanan reman,” katanya. – Malaysiapost

