KERAJAAN dijangka tidak akan membenarkan pergerakan rentas negeri pada perayaan Aidilfitri yang akan menjelang lebih dua minggu dari sekarang.
Ia bermakna buat tahun kedua berturut-turut rakyat akan berhari raya tanpa pulang ke kampung halaman seperti sebelum munculnya pandemik Covid-19.
Sekali lagi, lebuh raya dan semua laluan ke utara, selatan dan pantai timur, selain stesen bas, perkhidmatan kereta api dan penerbangan bakal lengang tanpa hiruk pikuk perantau pulang ke kampung.
Walaupun belum diumumkan secara rasmi, namun larangan rentas negeri seperti sudah dijangka bersandarkan beberapa kenyataan oleh polis sebelum ini.
Malah, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu menyatakan biarpun keputusan untuk tidak membenarkan rentas negeri bukan sesuatu disukai rakyat, tetapi ia perlu dilakukan bagi memastikan penularan Covid-19 dikekang.
Beliau dipetik berkata, hal itu penting terutama dalam situasi banyak negara lain sedang berdepan gelombang keempat wabak berkenaan.
“Data daripada Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan salah satu penyebab peningkatan kes harian adalah akibat daripada pergerakan rentas negeri.
“Kluster rentas negeri ini bukan sahaja mengakibatkan penularan Covid-19 kepada kawasan zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung, menghadiri majlis sosial juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya.
Indikasi lain yang menunjukkan rakyat akan beraya di perantauan apabila pada 19 April lalu, polis memaklumkan pergerakan rentas negeri yang diluluskan hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis sahaja.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pergerakan pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad tidak akan diluluskan, tidak termasuk bagi urusan melibatkan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.
“Aturan ini akan berterusan sehingga selepas Aidilfitri. Mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas,” katanya.
Pada masa sama, beberapa ketua polis negeri telah mengeluarkan kenyataan akan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah sepanjang Aidilfitri.
Antaranya untuk memeriksa jika sesebuah mempunyai banyak kenderaan yang memungkinkan berlaku aktiviti rentas negeri untuk beraya.
Malah, Polis Kedah akan memeriksa rumah didapati mempunyai jumlah kasut dan selipar yang banyak untuk mengesan individu tidak mematuhi larangan rentas negeri pada sambutan Aidilfitri nanti.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan dilaporkan berkata, pihaknya mengerah anggotanya melakukan rondaan sepanjang sambutan perayaan itu di seluruh negeri itu.
Bersadarkan beberapa kenyataan tersebut, dapat disimpulkan tiada pergerakan rentas negeri sempena Aidilfitri tahun ini.
Cuma yang menimbulkan tanda tanya sama ada pergerakan rentas daerah, terutama di negeri-negeri bukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adakah dibenarkan atau dilarang ketika Aidilfitri nanti.
Selain itu, SOP untuk perayaan dijangka turut diperketatkan seperti tahun lalu, antaranya jumlah individu yang menziarah sesebuah rumah dihadkan.
Negeri mana terpaksa beraya dalam SOP lebih ketat atau diberi sedikit kelonggaran ketika Aidilfitri , dijangka diketahui hari ini termasuk kebenaran rentas negeri dan daerah.
Ismail Sabri dijangka mengumumkan kategori PKP bagi negeri-negeri sempena Aidilfitri hari ini.
Ini bermakna, rakyat akan mengetahui sama ada negeri mereka akan dikenakan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) mahupun PKP Pemulihan (PKPP) pada Syawal nanti. – Malaysiapost

