PERDANA Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha didenda 6,000 baht (RM782) kerana tidak memakai pelitup muka semasa mempengerusikan mesyuarat bersama penasihat pemerolehan vaksinnya semalam.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan didenda susulan pihak berkuasa Bangkok mula menguatkuasakan perintah wajib pemakaian pelitup muka termasuk di dalam kenderaan yang melebihi seorang penumpang.
Sekeping gambar Prayuth tanpa memakai pelitup muka semasa mempengerusikan mesyuarat itu dimuatnaik di Facebook rasminya dan tular di media sosial sebelum dipadamkan kemudian.
Laporan mengenai kesalahan itu dibuat oleh Gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang dan dalam satu hantaran di laman Facebook beliau memaklumkan telah membuat aduan terhadap Perdana Menteri itu kepada polis.
Aswin berkata, perdana menteri diberitahu bahawa beliau melanggar peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka, semasa di luar kediaman.
“Beliau (Prayuth) dikenakan denda 6,000 baht… Beliau setuju untuk membayarnya,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Seksyen 51 Communicable Diseases Act 2015 Thailand menetapkan seseorang yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda maksimum 20,000 baht.
Bagaimanapun media Bangkok Post melaporkan pegawai penguat kuasa mungkin menimbangkan pertuduhan lebih ringan berdasarkan peraturan berkaitan denda itu, yang antara lain menetapkan denda 6,000 baht bagi kesalahan kali pertama, 12,000 baht bagi kali kedua, dan 20,000 baht bagi kali ketiga.
Semalam adalah hari pertama peraturan memakai pelitup muka diwajibkan di tempat awam di Bangkok bagi menangani penularan Covid-19 susulan jumlah kes jangkitan yang melonjak ketika ini. – Malaysiapost
Foto Kredit: Reuters

