PELAKON veteran, Shamsudin Baslah, 74, meninggal dunia di Hospital Tanjung Karang, Selangor kerana sakit tua pada jam 5.30 petang tadi.
Berita tersebut dimaklumkan oleh Zulkifli Ismail yang juga seorang pelakon menerusi hantarannya di Facebook miliknya.
Menurut Zulkifli, jenazah Allahyarham Shamsudin akan dibawa ke Pusat Jagaan Orang Tua Selangor Relief Agency (SRA) di Sekinchan.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Pelakon veteran Shamsudin Baslah telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi di Hospital Tanjung Karang.
“Jenazah akan dibawa ke Pusat Jagaan Warga Tua SRA, Sekinchan. Selain berlakon, Allahyarham juga seorang pengarah dan penerbit.
“Dalam filem Bukit Kepong, beliau berlakon sebagai PC 7862 Abdul Kadir Bin Jusoff. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama roh para solihin,” tulis Zulkifli dalam hantaran itu.
Karier seni Allahyarham aktif sejak era 1980-an dan dikenali melalui lakonan dalam filem Bukit Kepong pada 1981, Penentuan (1982) dan Bila Hati Telah Retak (1983).
Difahamkan, Shamsuddin ditempatkan di Pusat Jagaan Warga Tua SRA oleh isteri keempatnya, sejak setahun lalu.
Butiran mengenai anaknya tidak diketahui namun anak lelaki daripada perkahwinan keempatnya sering menziarah arwah. – Malaysiapost

