6 bulan tinggal di hotel bajet, Ebit Lew bantu 7 beradik

0
2

PENDAKWAH bebas, Ebit Lew yang terkenal dengan sikap murah hati, hari ini membantu ibu dan tujuh beradik yang tinggal di hotel bajet hampir enam bulan kerana tidak mempunyai rumah.

Ebit menerusi hantaran di Facebook memberitahu, tujuh beradik itu bersama ibu mereka menginap di bilik kecil hotel tersebut dan kesemuanya tidak bersekolah.

“Kakak paling besar umur 15 tahun. Yang kecil dua tahun. Dah lama tak jumpa bapa mereka.

“Berat ujian mereka. Anak tolong orang jual kuih dan kacang-kacang. Kadang ada orang bantu beri duit dan makanan. Sayu tapi kagum anak ini mereka kuat nak menjaga satu sama lain. Masing-masing nak menjaga ibunya.

“Sampai bilik hotel mereka terkejut sangat. Sebab kecil sangat. Terfikir bagaimanalah mereka hidup dalam bilik kecil ini. Biasalah anak-anak mereka gembira jer. Mereka dapat jer duit berniaga berjalan-jalan terus bayar sewa hotel hari-hari,” tulisnya.

Sejurus melihat keadaan keluarga tersebut, Ebit membawa mereka ke rumah apartment tiga bilik dan berjanji akan menampung sewa rumah itu setiap bulan.

Sementara itu, Ebit sempat membawa tujuh beradik itu membeli belah kelengkapan baju raya di Plaza Angsana, Larkin di Johor.

“Dapat beli baju sama semua. Ada tiada selipar. Kaki ayam. Belikan selipar. Seronok betul adik ni semua. Tak berhenti cakap terima kasih ustaz. Lagi sedih yang kecil manja betul. Asyik dekat dan berlari-lari. Comel jer.

“Selepas itu bawa ke rumah baru untuk mereka dan makan KFC. Kami belikan perabot dan semua barang elektrik. Katil dan tilam. Serta beri sedikit duit belanja. Syukur sangat rasa,” ujarnya.

Menurut Ebit, beliau akan cuba membantu keluarga itu berniaga untuk menambah sumber pendapatan mereka.

“Terima kasih Hazlina yang tulis di FB beliau dan ada yang tag saya. Terima kasih Dr Salwa dari Syarikat Faiza kerana sponsor katil tilam dan lain-lain.

“Doakan supaya keluarga ini dibantu Allah dan diberkati sehingga anak ini berjaya semuanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here