6 penuntut matrikulasi dikecualikan bayar kompaun

0
1

ENAM penuntut Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng yang dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka telah dikecualikan bayaran.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata, perkara itu diputuskan selepas kesemua mereka mengemukakan rayuan pengurangan bayaran kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, perbincangan yang dibuat bersama Pengarah Kesihatan Negeri dan Pegawai Kesihatan Kampar berjaya mencapai kata sepakat bahawa keenam-enam penuntut terbabit tidak perlu membayar denda berkenaan.

“Saya berjumpa sendiri dengan Pegawai Kesihatan Kampar dan berbincang dengan Pengarah Kesihatan Negeri, jadi penuntut-penuntut ini tidak perlu membayar apa-apa pun.

“Kes ini telah selesai dan saya harap ia tidak dipanjangkan lagi bagi memberi ruang kepada mereka yang sedang menduduki peperiksaan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Selama di Larut, Perak hari ini.

Mohd Akmal berkata, keputusan yang dicapai itu adalah langkah terbaik dan sangat membantu penuntut berkenaan yang datang dari keluarga asnaf.

“Saya sendiri telah berjumpa dengan seorang bapa penuntut terlibat untuk memberi kata-kata semangat dan menyatakan perkara ini telah diselesaikan oleh kerajaan negeri,” ujarnya.

Sementara itu, beliau juga menasihatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Baru-baru ini, tular di media sosial yang mendakwa terdapat pelajar matrikulasi dikenakan kompaun RM1,500 kerana melanggar SOP dengan tidak memakai pelitup muka di dalam kawasan kolej.

Ia turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memaklumkan siasatan mengenainya telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Perak. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/04/21/pelajar-kolej-dikompaun-pkn-mahu-hulur-bantuan-pembayaran/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here