Kompaun RM50,000 kesilapan yang boleh diperbetulkan – Ismail Sabri

0
1

ISU kadar kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap peniaga di Kelantan atas kesalahan beroperasi lebih waktu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah satu kesilapan yang boleh diperbetulkan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang itu dilaksanakan oleh penguatkuasa sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT), namun kadang-kala ada pihak kurang teliti dari segi tindakan.

“Walaupun mereka (penguatkuasa) ada budi bicara tetapi mereka kurang teliti dari segi penggunaan budi bicara itu.

“Sebagai contoh berniaga depan rumah dikenakan kompaun RM50,000 memang tidak logik dan orang ramai marah.

“Penguatkuasaan di lapangan iti tidak boleh menjadikan kerajaan itu salah kerana kita ada undang-undang dan peraturan.

“Kesalahan itu dilakukan oleh pegawai yang mengambil tindakan tetapi tidak bolehlah kata semua orang salah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan dan Dialoq Bersama Persatuan-Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma ATM, Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri berkata, kesilapan itu berlaku tetapi bukanlah tidak boleh diperbetulkan dan beliau difahamkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengumumkan akan memberi pengurangan apabila dirayu nanti.

“Walaupun tidak sepatutnya perkara itu berlaku iaitu tidak sepatutnya KKM campur tangan, sebab sepatutnya tidak akan sampai RM50,000.

“Namun kita tidak sempurna dari segi pegawai-pegawai yang melaksanakan setiap penguatkuasaan,” katanya

Ismail Sabri berkata, secara keseluruhannya kes seperti itu baru sekali berlaku dan ia bermakna polis telah mengambil tindakan yang baik selama ini.

“Tidak boleh sebab satu kesalahan menyebabkan seluruh PDRM dianggap tidak menggunakan budi bicara hanya sebab satu kes.

“Tetapi ini bukan di bawah bidang kuasa saya, ia di bawah PDRM dan kompaun di bawah KKM.

“Perkara ini juga sudah diterangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa setiap kesalahan itu ada kategori dengan jumlah kompaunnya.

“Mungkin yang membuat kompaun itu tidak menyedari ada jenis-jenis kesalahan dan kompaun bukan terus dikenakan RM50,000 kerana jumlah itu adalah maksimum untuk syarikat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan setakat ini Tabung Pahlawan sudah menerima sumbangan RM12. 745 juta dengan RM8.745 juta sudah diterima manakala masih menunggu bayaran lagi RM4 juta sumbangan dijanjikan syarikat korporat dan sebagainya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/04/27/kkm-minta-peniaga-burger-buat-rayuan-segera/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here