POLIS menafikan dakwaan bertindak secara tidak adil dalam mengeluarkan kompaun terhadap seorang wanita atas kesalahan tidak mengimbas kod QR MySejahtera ketika menaiki bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Annas Sulaiman berkata, pihaknya mendapati wanita berusia 20-an itu tidak mengimbas kod QR MySejahtera ketika hendak menaiki bas walaupun telah dinasihatkan oleh pemandu bas berkenaan.
“Wanita itu hanya membuat imbasan Kod QR MySejahtera ketika di perhentian TBS dan tidak mengimbas kod QR MySejahtera semasa menaiki bas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Annas berkata, pihaknya telah mengeluarkan kompaun kepada wanita itu selepas membuat pemeriksaan di dalam bas tersebut.
“Kita turut melakukan pemeriksaan terhadap penumpang lain dan mendapati kesemua mereka telah mengimbas kod QR MySejahtera.
“Wanita itu dikenakan kompaun kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) pengangkutan awam yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 13 Januari lalu,” katanya.
Sementara itu, Annas turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan melalui MKN.
Menurutnya, semua individu seharusnya memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha memerangi penularan Covid-19.
Terdahulu, tular di Twitter mengenai seorang wanita mendakwa telah dikompaun kerana tidak mengimbas kod QR MySejahtera ketika di TBS.
Menurut wanita itu, dia tidak dimaklumkan oleh pemandu bas tersebut untuk mengimbas atau menulis nama di buku rekod yang disediakan di bahagian hadapan bas.
Wanita itu juga mempersoalkan mengapa pihak polis tidak mengenakan tindakan kepada pemandu bas tersebut yang mana kedudukan tempat duduk penumpang tiada penjarakan fizikal. – Malaysiapost

