LTAT lancar aplikasi MyWIRA

0
1

LEMBAGA Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini melancarkan Aplikasi MyWIRA bagi memudahkan pencarumnya mengakses penyata caruman, status permohonan pengeluaran serta menyemak maklumat akaun unit amanah dengan lebih cepat, mudah dan mesra pelanggan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu amat baik untuk mendekati kumpulan sasar iaitu pencarum LTAT walau di mana mereka berada.

“Saya percaya dengan kemudahan ditawarkan melalui aplikasi MyWIRA ini, pencarum LTAT tidak perlu hadir ke kaunter pejabat LTAT, menggunakan kemudahan e-Kiosk ataupun melalui laman sesawang LTAT.

“Kini pencarum boleh terus menggunakan aplikasi MyWIRA LTAT ini di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran aplikasi tersebut hari ini.

Aplikasi tersebut disasarkan untuk memberi keselesaan kepada pencarum LTAT serta pengalaman bermanfaat di era digital kini.

Aplikasi MyWIRA menjadi penyelesaian mudah lagi cepat untuk pencarum mendapat maklumat mengenai caruman mereka dengan hanya berurusan di hujung jari sahaja.

Selain itu, pencarum boleh menyemak maklumat seperti Yayasan LTAT, tawaran dan promosi eksklusif oleh Perbadanan, anak syarikat dan rakan kongsi.

Kini, aplikasi ini sedia untuk diguna pakai dan para pencarum boleh memuat turun secara percuma daripada App Store untuk sistem operasi iOS dan Play Store untuk pengguna sistem operasi Android. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here