SEBANYAK 79 sekolah di Selangor diarahkan tutup sementara bermula hari ini hingga esok susulan penularan jangkitan Covid-19.
Menurut senarai edaran oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, sekolah yang terlibat ialah 19 di daerah Hulu Langat, 18 di Petaling Perdana dan 15 di Klang.
Baki 27 sekolah lagi adalah di daerah Petaling Utama, Sepang, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.
Menurut JPN Selangor, sekolah berkenaan ditutup selepas pengesanan jangkitan Covid-19 di sekolah terbabit pada 25 April.
Sementara itu, menurut makluman di group WhatsApp sebuah sekolah menengah di Selayang Baru, Gombak yang diterima Malaysiapost, sekolah berkenaan ditutup dua hari mulai hari ini.
Difahamkan penutupan itu dibuat bagi tujuan sanitasi di kawasan sekolah.
Bagaimanapun guru sekolah tidak memaklumkan sama ada berlaku kes jangkitan Covid-19 melibatkan guru atau pelajar. – Malaysiapost

