LAGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terus menghulurkan sumbangan dalam membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Terbaharu pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu menyumbang 10 komputer riba bagi pelajar sebuah sekolah di Kedah selepas Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong memaklumkan sekolah berkenaan memohon bantuan.
Menurut Steven, pihaknya dimaklumkan dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Kedah memerlukan bantuan komputer bagi pelajar.
“Sebenarnya saya sudah kehabisan stok, dan keutamaan diberikan kepada Bukit Mertajam dahulu. Tapi orang dah memohon, saya tak sanggup menolak, jadi saya cuba cari jalan.
“Saya pun call Datuk Lee Chong Wei untuk tanya sama ada masih ada tablet atau laptop lagi untuk disumbangkan.
“Kalau ada, saya minta sekolah direct deal dengan beliau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, Chong Wei yang terkenal dengan sikap pemurah itu terus bersetuju memberi sumbangan 10 komputer riba dan memintanya untuk menguruskan sumbangan itu dengan pihak sekolah.
“Jadi hari ini kebetulan saya dalam perjalanan ke utara, saya serahkan laptop itu kepada rakan seperjuangan saya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Derga, Tan Kok Yew di Kedah untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah yang berkenaan.
“Terima kasih hero kita LCW dan Tan Kok Yew,” katanya.
Pada Februari lalu, Chong Wei menyumbang 50 tablet Samsung A8 bagi penggunaan murid yang memerlukan melalui program ‘Asal Cek Mau Pi Sekolah’ hasil inisiatif Steven Sim. – Malaysiapost

