PKR desak kerajaan ambil tindakan guru persenda jenayah rogol

0
2

PERBUATAN seorang guru mempersendakan jenayah rogol wajar dipandang serius kerana dibimbangi menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR Fadhlina Siddiq, berkata beliau bimbang gurauan dan persendaan itu akan menjadi budaya ‘rape culture’ yang menular dan menjadi normalisasi dalam masyarakat suatu hari nanti.

“Perbuatan seorang guru mempersendakan jenayah rogol dan maruah wanita adalah bentuk jenayah gangguan seksual yang nyata serta melibatkan isu moral. Perbuatan tidak bertanggungjawab warga pendidik tersebut adalah dakwaan yang serius dan memerlukan siasatan menyeluruh.

“Saya juga merakamkan penghargaan yang tinggi kepada pelajar tersebut yang telah menampilkan keberanian dan kecerdasan yang cukup luar biasa dalam mempertahankan maruah wanita dan tegas menolak budaya ‘rape culture’ dan lawak lucah yang berleluasa dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, PKR mendesak kerajaan terutama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat perkara ini secara menyeluruh kerana ia jelas bertentangan dengan peranan guru yang sepatutnya memberi maklumat tepat tentang isu gangguan seksual.

“Dakwaan pelajar tersebut adalah dakwaan yang serius dan mesti diambil perhatian segera oleh KPM kerana ia melibatkan warga pendidik yang sepatutnya memberikan advokasi dan maklumat yang tepat tentang isu gangguan seksual.

“Menteri pendidikan, (Datuk Dr) Radzi Jidin harus segera memberikan respon dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas dakwaan yang serius ini.

“Seruan yang sama kepada Menteri KPWKM, dengan tahap keseriusan kes-kes gangguan seksual yang berlaku dalam masyarakat, mengapa terus berlaku kelewatan dalam pembentangan RUU Akta Gangguan Seksual di Parlimen? Bentang RUU Akta Gangguan Seksual di Parlimen atau undur diri dengan bermaruah,” katanya.

Semalam, tular video seorang pelajar perempuan yang tidak berpuas hati dengan gurunya yang mempersendakan jenayah rogol.

Menurut pelajar itu, guru lelaki pendidikan jasmani itu dilihat seperti menggalakkan jenayah rogol.

“Perlahan-lahan gurauan itu menjadi semakin pelik dan lucah. Kemudian, guru itu bercakap mengenai terdapat pelbagai undang-undang yang melindungi kanak-kanak bawah umur daripada penderaan dan gangguan seksual.

“Guru itu kemudian berkata, jika pelajar-pelajar nak rogol, janganlah rogol yang bawah 18 tahun, rogol yang 18 tahun ke atas sebab banyak undang-undang untuk bawah umur,” katanya.

Menurutnya, semua pelajar perempuan tidak memberikan reaksi terhadap gurauan itu dan mendiamkan diri namun ia disambut dengan gelak ketawa pelajar lelaki. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here