Dana KWAN tak sama dengan duit i-Sinar rakyat – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

PENGELUARAN dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah berbeza pengeluaran simpanan KWSP oleh rakyat.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata ianya memang jelas berbeza daripada segi objektif dan tujuan sebenar KWSP dan KWAN ditubuhkan.

Katanya, Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya menggunakan alasan rakyat boleh mengeluarkan simpanan KWSP di musim pandemik Covid-19 bagi menghalalkan tindakan kerajaan menggunakan dana KWAN.

“Sebab Rakyat biasa dibenar buat pengeluaran i-Sinar dari simpanan KWSP maka kerajaan pun mahu buat pengeluaran ala i-Sinar dari tabung simpanan KWAN.

“Itulah jawapan diberi Bersatu semalam kenapa kerajaan guna ordinan darurat untuk korek tabung amanah KWAN berjumlah sebanyak RM16.9 bilion yang dibina masa BN.

“Tapi ada bezanya. Sebab Rakyat biasa tak pinjam sekitar RM85 bilion (termasuk RM5.4b dari pinjaman asing Sukuk Hijau dibuat minggu lepas) dalam tempoh empat bulan sejak Darurat bermula,” catat Najib di Facebook, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan tampil mempertahankan tindakan kerajaan PN menggunakan dana KWAN untuk pembiayaan pembelian vaksin.

Beliau mendakwa ianya sama dengan langkah kerajaan membenarkan rakyat mengeluarkan duit simpanan KWSP dalam keadaan mendesak akibat pandemik Covid-19 ini.

“Dalam situasi biasa, kedua-duanya adalah dana yang sepatutnya kita elak daripada sentuh sebab matlamatnya ialah untuk masa depan. Covid-19 adalah era situasi luar biasa. Kita semua sedang terhimpit dan ada yang hilang pekerjaan.

“Maka dalam era rakyat susah ini, kita semua mendesak supaya kerajaan benarkan pengeluaran KWSP serta-merta. Kerajaan benarkan, tetapi ada syarat yang ketat untuk seimbangkan antara keperluan mendesak hari ini dengan tabungan untuk masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, setakat ini Kerajaan PN masih belum menjawab pelbagai persoalan yang bermain di minda rakyat terutamanya berkaitan ke mana perginya bajet asal RM3 bilion.

Beliau juga menyifatkan jawapan kerajaan PN itu tidak menjawab persoalan-persoalan utama.

“Kenapa masih perlu kikis tabung simpanan masa depan negara jika sudah meminjam RM85 bilion dan menjual banyak aset dalam tempoh 4 bulan sejak permulaan tahun?

“Ke mana perginya bajet asal RM3 bilion diluluskan dalam bajet 2021 yang kerajaan kata sudah cukup untuk membeli vaksin untuk 85% penduduk?

“Ke mana perginya peruntukan tambahan RM2 bilion yang menjadikan jumlah bajet bagi vaksin sebanyak RM5 bilion yang diumumkan PM8 pada bulan Mac?,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here