PEMUDA Umno Perlis menyokong penuh keputusan presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang baharu.
Ketuanya, Harmizan Abdul Halim, berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Shahidan Kassim diatas tanggungjawab yang digelas semasa menjawat jawatan berkenaan.
“Sama-sama Kita kukuhkan Umno dalam negeri Perlis, demi kepentingan rakyat khasnya di negeri Perlis Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, beliau berharap pelantikan Azlan dapat membuka lembaran baru dalam lapangan politik Perlis khususnya di peringkat Badan Perhubungan Umno negeri.
Katanya, pelantikan ini diharap dapat memantapkan penyelarasan gerak kerja politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri yang sekian lama berada dalam dilema disebabkan permasalahan berkaitan adanya dua nakhoda yang mengemudi sebuah kapal.
“Kita menyanjung tinggi komitmen dan kesungguhan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam membawa pembaharuan yang positif untuk mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15.
“Dalam suasana politik dan ekonomi negara yang semakin goyah disebabkan keangkuhan, penting diri dan ketidakpedulian kerajaan hari ini, ketegasan pucuk pimpinan dalam percaturan mengelakkan risiko kebocoran maklumat dan strategi parti amatlah bertepatan dan kena pada masanya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap seluruh ahli dan penyokong Umno di Perlis terus istiqomah dalam perjuangan serta bersiap-sedia untuk mengharungi lembaran baru perjuangan ini.
“Umno Perlis tidak ketandusan pemimpin dan setiap pemimpin tentunya mempunyai corak kepimpinan yang tersendiri.
“Justeru, sebagai sebuah parti besar yang dominan, Umno Perlis tidak boleh bersikap statik dan selama-lamanya hanya bergantung kepada seorang individu untuk memimpin; seolah-olah orang lain semuanya tak layak,” katanya.
Semalam, Umno menggugurkan Shahidan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perlis berkuatkuasa serta merta.
Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan Azlan yang juga Menteri Besar Perlis sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis yang baru. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/24/shahidan-dilucutkan-jawatan-pengerusi-perhubungan-umno-perlis/

