HAMPIR lima hari berlalu, namun Kapal selam KRI Nanggala-402 milik Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) yang hilang di perairan masih belum ditemui.

Peristiwa ini mengundang simpati seluruh dunia yang turut bersedih dengan tragedi itu. Apatah lagi mengenang nasib 53 anak kapal yang masih belum diketahui.
Ketika kejadian, KRI Nanggala 402 dikatakan membuat selaman bagi mengikuti latihan penembakan torpedo di perairan Bali Utara.

Kerajaan Indonesia termasuk dengan bantuan negara luar melancarkan misi mencari dan menyelamat. Sehingga semalam, beberapa petunjuk ditemui dan amat membantu pencarian.
Berikut adalah kronologi kehilangan KRI Nanggala 402 yang dipetik daripada sebuah portal berita:
21 April 2021
3 pagi: KRI Nanggala 402 meminta izin menyelam.
3.46-4.46 pagi: KRI Nanggala 402 secara tiba-tiba terputus hubungan. Panggilan dari pangkalan tidak mendapat sebarang respons. Periskopnya juga tenggelam. Hubungan kapal ini dengan pangkalan terputus.
TNI terus mengerahkan seluruh kekuatan kapal yang memiliki kemampuan mencari objek di bawah permukaan air miliknya dalam proses mencari dan menyelamat.
7 pagi: Melalui tinjauan udara oleh helikopter, tumpahan minyak ditemui di sekitar lokasi awal KRI Nanggala 402 menbuat selaman
4.17 petang: Helikopter diterbangkan untuk melakukan tinjauan petunjuk visual. Namun tidak mendapat sebarang penemuan.
5.15 petang: KRI Nanggala-402 dijadualkan muncul lagi di permukaan air namun ia tidak kunjung timbul. TNI-AL lalu melakukan prosedur yang dijalankan bagi mencari kapal selam hilang hubungan dan mengalami permasalahan iaitu submissed.
6.46 petang: TNI AL mengeluarkan isyarat submissed atau kapal selam hilang. Seluruh tenaga dikerahkan untuk mencari KRI Nanggala 402 dan sebarang latihan lain ditunda.
Laksamana Yudo Margono berkata pihaknya akan melakukan subsunk jika sudah mendapat kepastian kapal selam itu tenggelam dengan bukti.
11 malam: Dalam kenyataan kepada media, KRI Nanggala 402 dikatakan jatuh pada kedalaman 600 hingga 700 meter. Laksamana Pertama Julius Widjojono mengatakan kapal tersebut mungkin mengalami black out.
Menurutnya, kapal itu mungkin mengalami kerosakan hingga tidak mampu timbul ke permukaan semula. Tumpahan minyak yang ditemui sebelum ini mungkin membuktikan adanya keretakan pada tangki kapal selam berkenaan. Ia juga berkemungkinan disebabkan oleh kerosakan akibat tekanan air laut.
22 April 2021
Pergerakan objek bermagnet tinggi di bawah air dikesan tetapi ia tidak dapat dipastikan. Petunjuk itu diperolehi KRI Raden Eddy Martadinata 331. Pergerakan objek berkenaan pada kelajuan 2.5 knot bagaimana pun kemudiannya hilang. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan.
23 April 2021
Titik magnet berkekuatan tinggi ditemui pada kedalaman 50 hingga 100 meter oleh KRI Pulau Rimau 724.
Tumpahan minyak juga ditemui di lokasi pencarian kapal selam itu menurut Laksamana Yudo Margono menunjukkan kemungkinan kru kapal membuangnya untuk meringankan agar kapal terapung.
Pada sebelah petang, pencarian difokuskan di utara Bali iaitu sekitar 40 km dari Celukan Bawang.
24 April
Indonesia memaklumkan menemui serpihan berasal daripada kapal selam KRI Nanggala-402 yang hilang bersama 53 kru di perairan Bali.
Panglima Angkatan Laut Tentera Indonesia, Marsekal Hadi Tjahjanto, berkata ia berdasarkan bukti penemuan tumpahan minyak dan serpihan kapal selam tersebut.
25 April
Kerajaan Indonesia yakin kapal selam KRI Nanggala-402 tidak meletup sebaliknya hanya mengalami keretakan dan terdampar 850 meter di dasar laut.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Angkatan Laut (KSAL) Laksamana Yudo Margono berkata, ia berdasarkan penemuan barang-barang KRI Nanggala-402 di kawasan sebuah palong laut yang berkedalaman 850 meter.
Kedudukan 850 meter di dasar laut memang menyukarkan usaha menimbulkan semula kapal selam itu meskipun menggunakan perlatan canggih seperti Remotely operated underwater vehicle (ROV).
Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat KRI Nanggala-402 yang hilang di perairan utara Pulau Bali terus menerus dilakukan. Pelabuhan Tanjungwangi, Banyuwangi menjadi sibuk dengan trafik kapal dari pelbagai pihak yang melakukan pencarian.
Selain daripada 21 kapal milik TNI dan bantuan armada kapal dari Polis Republik Indonesia, turut membantu ialah kapal-kapal dari negara jiran Singapura, Malaysia, Australia dan India.
Selain itu, Amerika Syarikat juga turut menghantar pesawat P-8 Poseidon milik angkatan tentera lautnya bagi membantu operasi mencari dan menyelamat. – Malaysiapost

