DAP tolak pemimpin cauvinis – Guan Eng

0
1

KEPIMPINAN Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan berjuang untuk menolak pemimpin yang bersifat cauvinis, kata Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng.

Ketika berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP di Kuala Lumpur hari ini, Guan Eng mengulangi pendirian DAP adalah untuk rakyat Malaysia dan tidak akan menjadi parti cauvinis.

“Izinkan saya memberi anda jaminan kepemimpinan CEC bersedia berjuang untuk menolak pemimpin yang ingin menyimpang daripada kerangka kerja kemajmukan kaum dan agama.

“… DAP tidak akan bersifat rasis dan ekstremis agama seperti PAS atau tunduk kepada PAS seperti MCA, MIC, dan GPS,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Sifat cauvinis bermaksud menunjukkan pendirian atau semangat yang melampau dalam memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum atau golongan.

Sejak kebelakangan ini, kem-kem dalam DAP berbeza pendapat secara terbuka, dengan beberapa kumpulan dituduh sebagai cauvinis Cina.

Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu dilaporkan berkata parti itu tidak perlu “mencairkan kecinaannya” hanya untuk meraih sokongan Melayu.

Sementara itu, ketika sidang media, Guan Eng diminta mengulas mengenai kenyataan dikeluarkan Ronnie, dan beliau berkata telah menjelaskan pendirian DAP dalam ucapannya.

Bagaimanapun, Guan Eng enggan merujuk kepada mana-mana individu tertentu.

Kenyataan Ronnie sebelum ini dikritik pemimpin DAP, Tony Pua dan Hannah Yeoh.

Menurut Tony, “DAP tidak memerlukan cauvinis dalam parti.”

Kata Tony, DAP telah dilabel sebagai parti cauvinis selama beberapa dekad kerana kekerapan isu-isu yang berkaitan dengan orang Cina dibangkitkan parti itu.

Ia ketika DAP memfokuskan usahanya untuk memastikan hak-hak minoriti tidak dipijak semasa pemerintahan BN.

Bagaimanapun, sejak tahun 2005, bawah kepimpinan Guan Eng DAP telah melakukan upaya bersama untuk melepaskan diri daripada label dan imej cauvinisme.

Dalam perutusannya kepada perwakilan hari ini, Guan Eng mengingatkan tiada gunanya memenangi pemilihan parti jika nanti kalah dalam pilihan raya umum.

“Lebih penting untuk mengalahkan pengkhianat mandat rakyat dan mengembalikan pemerintahan rakyat yang berfungsi untuk rakyat serta mendengar suara rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here