SERAMAI 498,504 individu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, manakala seramai 791,910 individu telah menerima dos pertama menjadikan keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 kini berjumlah 1,290,414 dos.
Menerusi infografik yang dikongsikan melalui laman Twitter rasminya, Dr Adham berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 103,615, diikuti Kuala Lumpur (87,609), Sarawak (78,936), Johor (71,736) dan Sabah (66,448).
Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini pula ialah Selangor dengan 70,512, diikuti Sarawak (50,448), Perak (49,995), Sabah (45, 602) dan Kuala Lumpur (44,379).
Katanya, sehingga hari ini, hanya 38.1 peratus atau 9,250,441 daripada golongan sasaran telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin itu dengan Selangor kekal mencatat jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 2,411,498 pendaftaran atau 49.8 peratus.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos depan pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – Malaysiapost

