MESKIPUN sedar harapan untuk anak kapal KRI Nanggala-402 ditemui dengan selamat adalah tipis, Winny Widayanti tetap mengirimkan mesej Whatsapp kepada suaminya Kolonel Laut Harry Setiawan.
Malahan, Winny masih mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku kepada suaminya yang merupakan Komander KRI Nanggala-402 dan 52 orang lagi anak kapal selam Tentera National Indonesia (TNI) selamat.
Winny tetap tabah dan masih tidak berhenti mengirim mesej Whatsapp ke nombor Harry untuk memberi perkembangan terkini di rumah.
“Banyak media datang ke rumah, mereka mengambil gambar saya dan suasana di rumah,” itu antara mesej Whatsapp yang dikirim Winny kepada suaminya yang dipetik portal suara.com
Menurut Winny, dia perlu kuat dan tabah seperti suaminya yang menerajui KRI Nanggara-402 dan berdoa kapal selam yang terputus hubungan di perairan Bali sejak Rabu lalu ditemui dengan selamat.
“Saya perlu kuat kerana saya isteri Komander, ketua angkatan kapal. Jika tugas Harry menjaga anak-anak buahnya, tugas saya sebagai isteri adalah menenangkan isteri serta keluarga mereka,” katanya tenang.
Walaupun sedih,Winny tetap tabah dan masih sempat berkunjung ke rumah beberapa anggota KRI Nanggala di Jawa Timur untuk bersama-sama berkongsi semangat sambil menanti perkembangan terbaharu insiden tersebut.
Semalam, TNI mengisytiharkan KRI Nanggara-402 karam dan dipercayai terdampar 850 meter di dasar laut berhampiram utara perairan Bali. – Malaysiapost

