Siasat segera dakwaan guru galak perbuatan rogol – Wan Azizah

0
2
BEIJING, 10 Julai -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika sidang media bersama wartawan Malaysia hari ini, yang membuat liputan sempena lawatan rasmi beliau ke China selama empat hari. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

AHLI Parlimen Pandan, Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat segera dakwaan seorang pelajar mengenai gurauan keterlaluan guru pendidikan jasmani terhadap jenayah rogol.

Beliau berkata, tindakan berani pelajar tersebut perlu diberi perhatian agar perkara seperti ini tidak berulang terutama di sekolah.

“Adalah tidak wajar juga apabila seorang guru lelaki menunjukkan akhlak yang sebegitu seolah-olah mengajar pelajar lelaki yang ada bersama-samanya ketika itu dengan bahasa lucah.

“Ini menunjukkan sikap tidak hormat kepada wanita apatah lagi membolehkan jenayah rogol walaupun dalam bentuk gurauan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, seorang yang bergelar lelaki perlu mempunyai rasa hormat kepada wanita sepertimana menghormati seorang ibu.

“Ada sebuah hadis yang panjang mengenai seorang pemuda yang mendampingi Rasulullah SAW pada suatu hari dan meminta izin untuk berzina.

“Betapa hikmahnya jawapan yang telah baginda Rasulullah SAW berikan iaitu dengan suatu pendekatan supaya timbul rasa hormat pemuda itu kepada mana-mana wanita yang dia ada keinginan untuk berzina.

“Menghormati mereka sepertimana dia menghormati seorang ibu, seorang anak perempuan, seorang saudara perempuan dan ibu saudara perempuannya dan ini akan mencegah pemuda itu daripada melakukannya,” katanya.

Terdahulu, seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan kerana seperti menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

Pelajar itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku kelmarin ketika sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan seorang guru lelaki.

Katanya, pada mulanya ia berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here