Shahidan dilucutkan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis

0
2

DATUK Seri Shahidan Kassim yang ‘mesra’ dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah dilucutkan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu diumumkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media hari ini.

Menerusi kenyataan itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Umno Perlis yang baru.

“Adalah dimaklumkan bahawa jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis, Shahidan Kassim digantikan kepada Azlan Man yang juga Menteri Besar Negeri Perlis.

“Pertukaran ini berkuatkuasa hari ini. Dirakamkan ucapan terima kasih kepada YB Datuk Seri Shahidan Kassim atas khidmat sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” katanya.

Difahamkan, tindakan penukaran ini dipercayai ada kaitan dengan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bakal diadakan esok.

Sebelum ini, Shahidan yang juga Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) lantang mengkritik keputusan Umno untuk menoktahkan kerjasama politik dengan Bersatu dan kerajaan PN sebaik sahaja Parlimen terbubar.

Malah, Shahidan yang condong kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sering mengkritik Ahmad Zahid dengan menyifatkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) bulan lalu telah dimanipulasi untuk kepentingan politik Presiden Umno itu.

Shahidan sebelum ini juga telah membuat tindakan tidak selari dengan Umno pusat apabila menyatakan Umno Perlis pimpinannya akan terus menyokong kerajaan PN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here