Najib ramal harga ayam kekal mahal selepas Aidilfitri berakhir

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meramalkan harga ayam akan kekal mahal meskipun selepas sambutan hari Aidilfitri berakhir.

Menurutnya, langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan kawalan harga ke atas harga ayam secara serta-merta ketika ini tanpa menyelesaikan masalah asas iaitu harga dedak serta kos bahan elektrik akan memberi kesan yang parah bagi bulan mendatang.

“Sebenarnya, ini bukan lagi masalah harga naik sebab musim raya. Siapa yang nak ternak jika kos pengeluaran jauh lebih tinggi berbanding kos jualan?

“Menanggung rugi dengan setiap ekor ayam yang diternak. Ini persoalan paling asas. Sesiapa yang faham ekonomi akan sedar perkara ini. Ini akan bermakna pengeluaran ayam dan bekalan stok akan berkurang.

“Akibatnya, harga ayam akan kekal tinggi selepas arahan kawalan harga musim raya berakhir atau Malaysia mungkin menghadapi kekurangan bekalan ayam dan telur pada bulan-bulan mendatang,” katanya di Facebook, hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan memetik kenyataan pakar ekonomi Carmelo Ferlito yang berkata mengawal harga adalah bahaya kerana boleh mendorong pengeluar mengurangkan pengeluaran jika kos mereka lebih tinggi daripada harga jualan.

“Baru-baru ini, harga tinggi jagung, kacang soya dan minyak sawit mentah, semuanya bahan utama untuk membuat dedak, dilihat sebagai sebab utama harga ayam naik.

“Menurut penternak itu, sejak kebelakangan ini harga jagung yang diimport naik 41.5 peratus manakala kacang soya pula 57.6 peratus dan minyak sawit mentah 43.3 peratus,” katanya.

Terdahulu, Najib pernah mencadangkan kepada kerajaan agar menggunakan keuntungan daripada cukai sawit susulan harga sawit yang tinggi ketika ini untuk diberikan sebagai subsidi makanan ternakan ayam.

“Ya, harga sawit tinggi kali ini tiada kena mengena dengan usaha kerajaan. Ianya sebab stok dan pengeluaran pelbagai komoditi sangat kurang tahun lepas akibat tempoh lockdown di seluruh dunia.

“Kerajaan seharusnya menaikkan cukai durian runtuh sebanyak 3 peratus hingga 5 peratus kerana ia tidak mempunyai impak besar ke atas keuntungan pengeluar minyak sawit di negara ini.

“Pendapatan dari cukai durian runtuh itu boleh digunakan sebagai subsidi makanan ternakan untuk turunkan harga ayam selagi harga komoditi kekal tinggi,” katanya.

Harga ayam dilaporkan melambung tinggi menjelang Ramadan sekitar RM9 hingga RM10 sekilogram menyebabkan orang ramai dan peniaga merungut. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/04/19/kerajaan-cadang-keluar-ap-stabilkan-harga-ayam/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here