Covid-19: Katil ICU penuh, Malaysia dilanda gelombang ke empat?

0
1

Nurul Huda Abhar

“YA, kita sedang dilanda gelombang ke empat Covid-19,” kata Dr Hana Hadzrami yang juga petugas barisan hadapan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Menurut beliau, setakat pagi tadi, katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) sudah penuh dan tiada lagi alat ventilator untuk diberikan kepada pesakit kritikal.

Lebih membimbangkan, apabila beliau memaklumkan ICU untuk rawatan pesakit Covid-19 juga sudah penuh.

“Covid varian baru dah dikesan di negara kita. Lebih laju merebak dan mampu menjangkiti orang muda,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Hana berkata, beliau memahami keadaan rakyat yang sudah muak mendengar berkaitan Covid-19 tambahan pula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) telah dilaksanakan dalam tempoh yang lama.

Tambahnya, semakin ramai rakyat hilang kepercayaan kepada vaksin Covid-19 akibat hebatnya penyebaran dakyah anti vaksin dan termasuklah gegaran dakyah pemuja teori konspirasi.

Katanya, berlaku kejadian individu yang sudah mendaftar penerima vaksin namun menarik diri setelah giliran tiba, tetapi ada juga yang bersemangat untuk divaksin namun perlu menunggu lama.

“Entahlah… tawar hati rasanya. Apa nak jadi. Pada yang mendakwa data kes direka; ketahuilah yang Covid tak kisah pun apa pendapat anda. Covid tetap ada dan variannya semakin mengganas.

“Kerana apa? Kerana ramai tak pedulikan SOP dan menyediakan perumah baru untuk Covid. Setiap kali Sars-CoV2 masuk ke dalam perumah baru, ia akan cuba bermutasi mewujudkan varian baru.

“Kerana tiada satu negara pun yang dah capai imuniti kelompok kerana terlalu perlahannya pemberian vaksin seluruh dunia,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here