Guna dana KWAN, bukti kerajaan PN sedang bergelut – Mustafa Shah

0
1

KEPUTUSAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) disifatkan seperti kehabisan modal untuk menjana pendapatan negara bagi tujuan pembiayaan pembelian vaksin.

Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid, berkata tindakan itu merupakan satu indikator jelas kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang bergelut untuk mengatasi keadaan meruncing bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung ketika ini.

Lebih merisaukan lagi, Mustaffa Shah berkata, apabila kerajaan PN telah pun meluluskan peruntukan tambahan Program Imunisasi Covid-19 Nasional sebanyak RM5 billion pada bulan lalu tetapi masih lagi mahu mendapatkan dana tambahan melalui KWAN.

“Dana KWAN ini merupakan pertahanan terakhir negara untuk menghadapi keadaan pada mana sumber asli negara akan kehabisan.

“Ini merupakan dana untuk generasi masa hadapan dan adalah amat tidak bertanggung jawab sekiranya Kerajaan PN memilih untuk menggunakan masa depan anak cucu kita bagi menampung kegagalan menjana pendapatan negara pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Apa yang mengecewakan, Mustaffa Shah menjelaskan, tindakan kerajaan PN ini boleh memakan diri kerana tidak melalui proses semak dan imbang melalui persidangan Dewan Rakyat yang digantung kerana perlaksanaan Proklamasi Darurat.

“Ini adalah kerisauan yang telah saya nyatakan sebelum ini apabila kerajaan PN meluluskan pindaan kepada Ordinan Darurat yang membenarkan Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri untuk menggunakan dana negara tanpa perlu melalui sidang parlimen.

“Kuasa tanpa periksa dan seimbang ini merupakan satu mimpi ngeri buat negara demokrasi kerana sidang parlimen tidak tahu apakah butiran tentang perbelanjaan yang akan dilakukan oleh kerajaan samada ia benar-benar berhemah atau pun tidak,” katanya.

Mustafa Shah yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar turut mempertikaikan kegagalan Kerajaan PN yang gagal mencari alternatif lain untuk membiayai pembelian vaksin.

“Saya ingin menyeru kepada Kerajaan PN untuk membuka pintu perbincangan melalui sidang parlimen untuk memastikan samada keputusan penggunaan dana KWAN dan dana negara ini adalah satu keputusan mendesak ataupun terdapat pilihan lain yang lebih baik.

“Gunakan segala usaha mungkin yang ada untuk menjana pendapatan negara yang semakin kritikal ini sebelum memilih untuk ‘memecah’ tabung simpanan untuk masa hadapan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/23/guna-dana-kwan-untuk-vaksinasi-membimbangkan-tok-mat/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here