Majikan belasah 2 ‘bodyguard’ didakwa 4 pertuduhan lagi

0
1

MAJIKAN kepada dua pengawal peribadi yang dibelasah dan diacukan pistol hanya kerana berpuasa, didakwa dengan empat lagi pertuduhan hari ini dan kali ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pula.

Ahli perniagaan, Chung Chee Yang, 43, semalam didakwa dengan lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang kerana memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam Zulkepli, 44.

Hari ini, dia didakwa dengan empat pertuduhan mencederakan pekerjanya, namun tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Memetik laporan Berita Harian, pertuduhan dijalankan di hadapan Majistret Muhamad Fared Abdul Latif.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Chee Yang didakwa dengan sengaja mencederakan Ahmad Shamsuri dan Mohd Azminizam di lif serta lobi One KL Kondominium antara jam 8.40 hingga 8.43 malam 13 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar, menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam, Abdul Hakeem Aiman, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menanggung isteri dan empat anak selain menghidap kanser usus, darah tinggi dan insomnia serta turut perlu menjaga ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 2 Jun depan untuk sebutan semula kes. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/22/majikan-belasah-2-bodyguard-kerana-berpuasa-hadapi-5-pertuduhan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here