BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan Syarikat minyak dan gas nasional (Petronas) membuat pinjaman sebanyak RM12.4 bilion dalam bentuk sukuk jangkamasa panjang.
Ahli Parlimen Pekan itu, berkata persoalan itu timbul susulan situasi harga minyak dunia Brent yang telah memulih ke lebih US$65 satu tong.
“Semalam, Petronas pinjam US$3 bilion (RM12.4b) dalam bentuk sukuk jangkamasa panjang (40 tahun) walaupun harga minyak dunia Brent telah memulih ke lebih US$65 satu tong.
“Ini berikutan pinjaman US$6 bilion (RM24.7b) pada bulan April 2020 dan US$600 juta (RM2.5b) pada bulan Mac 2020 lalu.
“Iaitu pinjaman sebanyak US$9.6 bilion (RM40b) dalam tempoh sekitar satu tahun,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Najib berkata, ketika zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN), Petronas juga pernah meminjam US$5 bilion pada tahun 2015 iaitu apabila harga minyak dunia jatuh 80% dan US$4.5 bilion pada 2009.
“Iaitu pinjaman US$9.5b dalam tempoh 9 tahun saya PM. Bagaimanapun, Petronas berkembang pesat dalam tempoh itu.
“Ia setelah 1MDB campurtangan untuk membeli dan menyelesaikan masalah perjanjian pengeluar elektrik bebas (IPP) berat sebelah ketinggalan PM4 yang banyak merugikan TNB dan Petronas pada tahun 2012,” katanya.
Beliau berkata, petronas dianggar telah jimat sekitar RM50 bilion dalam tempoh 2012 hingga 2017 itu kerana tidak perlu lagi memberi subsidi gas yang tinggi setiap tahun untuk penjanaan elektrik.
Katanya, Kerajaan BN juga kurang mengambil dividen yang berlebihan dari Petronas masa itu, terutamanya pada ketika harga minyak dunia rendah.
“Hasil dari itu dan business yang semakin berkembang, nilai bersih Petronas naik dari RM114.2 bilion pada akhir tahun 2008 ke RM432.3 bilion sebelum PRU14.
“Rizab tunai Petronas turut naik dari RM45.5 bilion ke RM174 bilion pada masa PRU14,” katanya.
Najib secara sinis berkata, ‘penyamun’ yang mengjaga Petronas yang telah menaikkan nilai syarikat itu hampir empat kali ganda dalam tempoh sembilan tahun serta meninggalkan tunai sebanyak RM174 bilion dalam Petronas.
“Tapi cash RM174 bilion ini hampir habis dikikis kerajaan PH dan PN sehingga Petronas perlu pinjam US$9.6 bilion (RM40b) dalam tempoh setahun berbanding US$9.5 bilion dalam tempoh 9 tahun,” katanya.
Najib menyenarai dividen dibayar Petronas kepada kerajaan:
2016 (BN): RM16b
2017 (BN): RM16b
2018 (PH): RM26b
2019 (PH): RM54b
2020 (PN): RM34b
Najib berkata, mengikut bajet 2021, kerajaan akan meminta dividen RM18 bilion dari Petronas.
“Melihat trend pinjaman kerajaan PN yang amat tinggi sekarang dan kesungguhan untuk korek tabung amanah seperti KWAN (RM16.9 bilion), adakah dividen RM18 bilion Petronas akan dinaikkan lagi dan dibiayai oleh pinjaman baru US$3 bilion ini?
“Jika bukan, kenapa pula Petronas perlu meminjam begitu banyak pada ketika harga minyak dunia telah memulih?,” katanya. – Malaysiapost

