Perkampungan air terbakar, 30 rumah musnah

0
1

DIANGGARKAN 30 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi di Sandakan hari ini, mengakibatkan kira-kira 150 penduduk hilang tempat tinggal.

Kebakaran kira-kira jam 7.50 pagi dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat berikutan kedudukan rumah diperbuat daripada kayu serta rapat antara satu sama lain.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sandakan, Martin Thomas berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.55 pagi dan menghantar sepasukan anggota bersama empat jentera yang tiba di lokasi 17 minit kemudian.

“Keluasan kebakaran adalah 100 x 200 meter dengan 30 rumah tidak kekal dianggarkan terbakar.

“Kami telah mengambil sumber air daripada tangki air sejauh 1,300 kaki (396.24 meter) daripada lokasi kebakaran kerana ketika kejadian air laut surut,” katanya.

Martin berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.17 pagi dan tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, bomba dengan dibantu penduduk turut melaksanakan “firebreak” iaitu memutuskan kemerebakan api dengan merobohkan rumah dan jambatan.

“Punca kebakaran serta jumlah sebenar mangsa yang terlibat masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Difahamkan, mangsa kebakaran akan ditempatkan di dewan serbaguna Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, manakala sebahagian lagi di balai raya kampung terjejas dan rumah saudara mara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here