MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan mengadakan mesyuarat dalam bulan Ramadan ini, namun belum dipastikan tarikh sebenar mesyuarat berkenaan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata beliau masih meneliti tarikh dan agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu kelak.
“Saya Setiausaha Agung yang bertanggungjawab mengeluarkan surat memanggil mesyuarat. Saya sedang meneliti tarikh dan agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu .
“Saya akui akan ada mesyuarat dalam Ramadan seperti yang dimaklumkan sebelum ini tetapi tarikh dan agenda tidak dapat dimaklumkan pada masa ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai mesyuarat MKT yang dijangka diadakan Ahad ini dengan agenda utama mesyuarat adalah mengenai pemilihan Umno sama ada diadakan mengikut jadual atau ditangguhkan.
Ahmad berkata, jika ada mesyuarat MKT dalam waktu terdekat, agenda utama mesyuarat MKT adalah mengenai tarikh pemilihan parti.
Katanya, perkara itu adalah agenda yang lebih ‘panas’ yang perlu dibincangkan parti berbanding isu lain.
Beliau menjelaskan lebih 70,000 mesyuarat perlu diadakan di peringkat cawangan dalam proses pemilihan.
“Struktur organisasi Umno ini berbeza dengan parti lain. Kita perlu adakan mesyuarat di 21,883 cawangan dan membabitkan empat mesyuarat setiap cawangan, Puteri, Pemuda dan Wanita serta cawangan itu sendiri.
“Selepas mesyuarat cawangan selesai, kita akan mesyuarat dan pemilihan di bahagian. Kami mempunyai 191 bahagian dan perlu adakan empat mesyuarat iaitu tiga sayap parti dan bahagian itu sendiri, bermakna akan ada 764 mesyuarat dan pemilihan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/08/pemilihan-umno-jika-dap-boleh-tiada-alasan-umno-nak-tangguh/

