PUTERI Umno menjangkakan kerajaan akan melaksanakan beberapa ‘langkah tidak popular’ demi menjaga kewangan negara yang dilaporkan semakin susut.
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa negara akan menghadapi kesukaran kerana rezab kewangan negara jatuh ketahap kritikal, adalah sesuatu yang mengejutkan.
Zahida berkata, beliau percaya susulan kenyataan itu kemungkinan banyak pembangunan negara seperti dinyatakan dalam Belanjawan 2021 tidak dapat dijalankan dengan sempurna.
“Sedangkan beliau telah menambahkan kabinet dengan melantik seorang lagi Timbalan Menteri daripada STAR semalam.
“Pastinya PM tidak sebodoh itu untuk mengumumkan kekurangan kerajaan. Lihatlah segala langkah-langkah yang dibuat beliau setakat ini untuk memastikan beliau kekal sebagai PM, daripada membeli MP-MP dari pembangkang sehingga darurat diistiharkan yang memerangkap pembangkang sendiri,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan kerajaan akan mengambil langkah tidak popular termasuk meanikkan had siling pinjaman negara, melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan tidak lagi menyediakan bantuan rakyat.
“Had pinjaman negara telah dinaikkan kepada 60% dan diluluskan parlimen Ogos tahun lepas dan sekarang ianya telah melebihi 63% KDNK yang sememangnya salah disisi undang-undang.
“Ianya mungkin dinaikkan lagi kepada 70% KDNK kerana “ini langkah perlu untuk selamatkan negara” seperti beliau telah bayangkan,” katanya.
Zahida berkata, beliau percaya dengan menyatakan negara berdepan kekurangan wang sekali gus memberi isyarat kerajaan tidak dapat lagi memberi bantuan kepada rakyat.
“Rakyat harus bersedia dari sekarang untuk menghadapi tindakan-tindakan kerajaan PN yang akan terus membebankan. Petanda awal. Kita tunggu pengumuman bonus untuk kakitangan awam,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/16/lantik-seorang-lagi-timbalan-menteri-ada-pula-duit-soal-syed-saddiq/

