POLIS sudah menghantar semula kertas siasatan majlis perkahwinan usahawan dan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail atau PU Riz kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata kertas siasatan berkata kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu diserahkan semalam.
Beliau berkata ketika ini, pihaknya sedang menunggu arahan daripada pihak terbabit untuk tindakan lanjut.
“Kita hantar semula kertas siasatan semalam selepas membuat beberapa pernambahan mengikut arahan pihak berkenaan sebelum ini.
“Perkembangan lanjut kes itu akan dimaklumkan kemudian,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Polis sebelum ini membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selepas majlis perkahwinan pada 26 Mac lalu, didapati gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.
Ia susulan satu gambar tular di media sosial menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan duduk rapat antara satu sama lain. – Malaysiapost

