Steven Sim akan saman pensyarah UUM

0
1

AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Ia susulan kenyataan Kamarul Zaman, pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mendakwa beliau mempunyai agenda kristianisasi dalam membantu penduduk di Parlimen Bukit Mertajam.

“Demi kemaslahatan masyarakat Malaysia dan sebagai teladan kepada semua agar menjaga keharmonian kaum di negara ini, saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Kamarul Zaman Yusoff dan pihak lain yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman baru-baru ini membandingkan sumbangan yang diberikan Steven Sim dengan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Beliau menyatakan sumbangan daripada pemimpin bukan Islam lagi ramai dikongsi dan tumpuan berbanding sumbangan diberikan oleh pemimpin Islam.

Malah beliau mendakwa Steven Sim mempunyai agenda susulan tindakannya membeli sebuah motosikal untuk seorang pemuda yang sebelum itu menggunakan basikal ketika bertugas sebagai penghantar makanan food panda.

Kebajikan yang dilakukan oleh Steven Sim mendapat perhatian daripada netizen di laman sosial yang rata-rata memuji tindakan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu.

Mengulas tindakan undang-undang itu, Steven Sim berkata beliau amat terkesan dengan fitnah dan tomahan oleh Kamarul Zaman terhadap dirinya.

Namun katanya beliau tetap bersabar sebab menghormati Ramadan sebagai bulan yang mulia buat umat Islam.

“Walaupun diminta oleh orang ramai untuk mengambil tindakan, saya tidak buat apa-apa. Namun, beliau pula tidak berhenti-henti membuat tuduhan yang tidak berasas.

“Tuduhan-tuduhan tersebut bukan sahaja merosakkan nama saya sebagai seorang Ahli Parlimen, malah lebih bahaya lagi, mengapi-apikan sentimen kaum dan agama dalam masyarakat kita.

“Beliau dengan tanpa rasa kesal juga mencabar saya mengambil tindakan saman terhadap diri beliau,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here