TINDAKAN meletak syarat kaum untuk pendaftaran aktiviti kokurikulum tidak patut berlaku lagi di mana-mana sekolah di Johor, titah Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) bertitah sekolah adalah tempat untuk memupuk semangat perpaduan antara rakyat Johor, bukan untuk memecahbelahkan masyarakat.
“Hari ini saya menerima mengadap Pengetua SMK Dato’ Bentara Luar, Batu Pahat, Abdul Razak Hamid; Pegawai Daerah Batu Pahat, Ismail Abu; Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Sahilon Abd Halim dan Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat, Dr Suhaimi Ismail.
“Saya menerima makluman mengenai kejadian di SMK Dato’ Bentara Luar, Batu Pahat yang melibatkan syarat kaum untuk pendaftaran aktiviti kokurikulum.
“Saya telah bertitah kepada pengetua sekolah dan JPN Johor bahawa kejadian ini tidak patut berlaku lagi di mana-mana sekolah di negeri Johor,” titahnya yang dikongsi di laman Facebook hari ini.
Menurut Tunku Ismail, tindakan menetapkan syarat kaum itu tidak selaras dengan Bangsa Johor yang memupuk perpaduan antara kaum di bawah satu identiti untuk semua rakyat Johor.
“Kejadian ini perlu dielakkan untuk mengekalkan kesejahteraan awam dan perpaduan rakyat,” titahnya.
Malaysiapost sebelum ini melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebuah sekolah yang mengeluarkan panduan pemilihan aktiviti sukan pelajar mengikut kaum.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dilaporkan berkata, tindakan sekolah itu bertentangan dengan matlamat dan asas pelaksanaan program sukan di Sekolah sebagai medium pengukuhan perpaduan yang amat berkesan.
Kejadian itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang membidas tindakan sekolah terbabit.
Susulan itu, pengurusan sekolah berkenaan membuat permohonan maaf semalam. – Malaysiapost

