SUSPEK utama pembikinan video Hari Raya yang mempromosi aktiviti perjudian dalam talian dikenali sebagai Ah Hoe direman empat hari bagi membantu siasatan polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata perintah reman terhadap lelaki berusia 35 tahun itu dikeluarkan Majistret yang hadir ke lokap polis.
Katanya, empat lagi suspek direman selama dua hari sehingga esok, lapor Malaysia Gazette.
“Pagi tadi kesemua lima suspek termasuk suspek utama telah dimohon reman daripada majistret yang datang ke lokap IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Dang Wangi.
“Ah Hoe diluluskan reman empat hari sehingga 22 April ini (Khamis) dan empat lagi suspek termasuk wanita iaitu terdiri daripada penyanyi dan komposer direman dua hari sehingga esok,” katanya.
Pagi tadi Mohamad Zainal berkata lima lagi individu terdiri daripada pengarah, penyanyi dan komposer yang terbabit dalam dua iklan lagu raya mempromosi aktiviti perjudian ditahan semalam.
Beliau berkata lima suspek termasuk suspek utama itu dipercayai mendapat arahan daripada sindiket perjudian atas talian untuk menerbitkan video berkenaan.
Menurutnya, tangkapan keseluruhan setakat ini seramai 18 orang dan mereka yang baru ditahan itu akan direman hari ini. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

