Kerajaan cadang keluar AP stabilkan harga ayam

0
1

KERAJAAN tidak tolak kemungkinan mengeluarkan permit import (AP) bagi membekalkan bekalan ayam segar ke dalam negara bagi menstabilkan harga.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, berkata cadangan yang bertujuan untuk mengatasi kenaikan mendadak harga ayam itu sedang dibincangkan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Pengeluaran AP (mengimport ayam) akan dilaksanakan jika golongan penternak masih berdegil dan menangguk di air yang keruh.

“Lambakan ayam import ini akan meningkatkan penawaran sekali gus menstabilkan semula harga,” katanya seperti dilaporkan Kosmo.

Rosol berkata, tinjauan mendapati harga ayam di pasaran rata-rata sudah mencecah RM10 sekilogram dan tidak menolak kemungkinan akan berlaku lagi kenaikan sekiranya tiada sebarang tindakan diambil.

Dalam perkembangan sama, beliu memberitahu, setakat ini, sebanyak 42 notis kompaun telah dikeluarkan terhadap 25 pemborong dan 17 penternak kerana menaikkan harga ayam secara tidak munasabah.

“Saya banyak menerima aduan daripada peniaga tentang kenaikan itu disebabkan harga tinggi yang dikenakan pembekal,” katanya.

Semalam, KPDNHEP memaklumkan harga ayam di pasaran berpunca daripada kenaikan harga makanan ternakan iaitu soya dan jagung yang diimport dari Argentina.

Ia hasil analisa awal mendapati kenaikan tersebut telah menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan daripada peringkat ladang ke pemborong, peruncit dan pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KPDNHEP turut melaksanakan Ops Catut 8.0 bermula Khamis lalu, susulan beberapa kes kenaikan harga ayam yang dikesan baru-baru ini. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/18/makanan-ternakan-punca-harga-ayam-naik-kpdnhep/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here