Kecemerlangan 2 pelajar anak yatim dapat perhatian Agong

0
1

YANG di-Pertuan Agong hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar muda Malaysia atas kejayaan menempatkan diri di antara 10 teratas dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas pencapaian cemerlang Nurul Fatin Nabihah Hamdan dan Siti Naziah Mohamad Nazid, mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Menerusi kenyataan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kagum atas kesungguhan dan semangat perjuangan tinggi kedua-dua pelajar dalam menghadapi dugaan dan kekurangan bagi mengejar cita-cita mereka.

“Kejayaan kedua-dua pelajar ini sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan individu berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

“Kejayaan ini turut membuktikan dengan iltizam dan bantuan serta bimbingan, pelajar-pelajar dari golongan B40 dan asnaf mampu berjaya dengan cemerlang di peringkat global sekiranya diberi peluang,” menurut kenyataan itu.

Istana Negara turut menyatakan Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan mereka berdua menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia, khususnya belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

Seri Paduka Baginda, kata kenyataan itu mengucapkan selamat maju jaya kepada Nurul Fatin Nabihah dan Siti Naziah serta mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa di masa hadapan.

Nurul Fatin Nabihah, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) tajaan Yayasan Sime Darby berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR).

Anak sulung daripada empat beradik itu kehilangan bapa pada usia 11 tahun dan kemudian dibesarkan oleh bapa tirinya yang bekerja sebagai petani, sementara ibunya merupakan suri rumah tangga.

Mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Fatin juga lulus dalam satu lagi kertas yang diambilnya iaitu Advanced Taxation (ATX).

Siti Naziah pula, pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan di dunia bagi kertas Audit & Assurance (AA).

Naziah, anak sulung daripada dua beradik, menghadapi cabaran getir kerana kehilangan ayah pada 2018 akibat kanser, ketika sedang sibuk dengan persiapan untuk menghadapi peperiksaan CAT.

Pelajar-pelajar di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu antara 92,000 calon dari serata dunia yang menduduki peperiksaan tersebut pada sesi Mac 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here