JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menafikan laporan media yang menyatakan penunggang motosikal P-Hailing adalah penyumbang tertinggi kes maut membabitkan kemalangan motosikal.
Pengarah JSPT, Datuk Azisman Alias berkata semakan mendapati maklumat dilaporkan media mengenai statistik berkenaan baru-baru ini adalah tidak tepat.
“Berdasarkan statistik JSPT pada 2019 sebanyak 3,959 kematian direkodkan membabitkan pengguna motosikal berbanding 3,118 kematian pada tahun lalu iaitu menurun 21 peratus.
“Bagi kemalangan melibatkan motosikal P-Hailing, pada 2019 mencatatkan satu kes kematian dan lima cedera ringan berbanding tahun lalu yang mencatatkan 17 kematian, 10 cedera parah dan 64 cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azisman berkata, pihaknya menasihatkan kepada mana-mana pihak agar tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan tanpa merujuk sumber daripada JSPT terlebih dahulu.
“Ini kerana maklumat yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai yang mungkin akan dijadikan sebagai rujukan oleh pihak ketiga pada masa akan datang,” katanya.
Baru-baru ini media melaporkan dua pertiga atau 1,684 daripada 2,576 kes kematian membabitkan penunggang motosikal dalam tempoh sembilan bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu membabitkan golongan penghantar barang dan makanan atau p-Hailing.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata jumlah itu adalah daripada keseluruhan 7,525 kes kematian jalan raya yang direkodkan dalam statistik JSPT, Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Malaysiapost

