SEMUA sekolah membabitkan tujuh daerah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan ditutup bermula hari ini sehingga 24 April.
Perkara itu disahkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
“Semua sekolah di daerah PKP di Kelantan ditutup mulai hari ini sehingga 24 April bagi membendung penularan Covid-19.
“Elak hadir tempat sesak. Jaga prosedur operasi standard (SOP). Covid-19 berada dalam komuniti,” katanya.
Semalam Kelantan mencatatkan 225 kes baharu jangkitan Covid-19 manakala kadar kebolehjangkitan wabak itu atau R naught (Rt) adalah tertinggi dalam negara iaitu 1.32 berbanding 1.19 kadar Malaysia.
Terdahulu tersebar di media sosial mengenai penutupan sekolah-sekolah di kawasan yang terlibat PKP di negeri itu kecuali di Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai.
Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ibu bapa dan murid mengenai kesahihan perkara itu.
Maklumat itu pada awalnya disebarkan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tanah Merah, Nik Muhamad Nik Lib, dalam satu hantaran di Facebooknya dan kemudiannya ditularkan pengguna media sosial lain.
Menurutnya perkara itu dimaklumkan pengarah JPN pada jam 11 malam tadi dan antara lain memaklumkan penutupan sekolah bermula hari ini. – Malaysiapost

